ad ld

Saturday, January 8, 2011

9,000 Remaja Gagal Ikuti PLKN Bakal Kena Hukuman 240 Jam Khidmat Masyarakat

Kira-kira 9,000 remaja bakal berdepan tindakan undang-undang ekoran kegagalan mereka mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sepanjang lapan tahun pelaksanaannya.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechik (gambar) berkata, senarai nama 9,000 bakal pelatih tersebut telah pun dihantar kepada pihak polis untuk disiasat sebelum kes dibawa ke mahkamah.

Tegasnya, bakal pelatih yang sengaja tidak mendaftarkan diri akan dikenakan hukuman mengikut Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yafng dipinda tahun lalu. Menurutnya, setakat ini hanya segelintir daripada mereka yang menghantar surat menyatakan sebab kegagalan kehadiran mereka ke kem-kem latihan PLKN.

“Mereka yang sudah menghantar surat itu antaranya memberi alasan tidak menerima surat panggilan, masalah kesihatan dan pelbagai sebab lain termasuk meminta pengecualian dan penangguhan daripada program. “Bagi mereka yang tidak mempunyai alasan kukuh, kita akan siasat dan kenakan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kem PLKN Princess Haliza, Sungai Pelek di sini hari ini.

Menurut Abdul Hadi, jika bakal pelatih didapati bersalah selepas menjalani proses perbicaraan di mahkamah, mereka perlu melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam.

“Hukuman akan diputuskan oleh mahkamah dan selepas itu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memastikan bentuk khidmat yang bagaimana perlu dilakukan. “Walaupun dikenakan hukuman melakukan khidmat masyarakat, mereka tetap perlu mengikuti PLKN, tiada sebarang pengecualian bagi mereka,” katanya.

Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan pelatih PLKN untuk siri pertama pada tahun ini ialah 33,204 orang dan kesemua mereka telah ditempatkan di 79 kem yang beroperasi di seluruh negara.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad mengadakan lawatan kerja ke kem tersebut untuk meninjau keadaan pelatih setelah tiga hari memulakan latihan. Menurut Abd. Latiff, sejak pelaksanaan PLKN, ia banyak memberi manfaat kepada negara untuk membentuk masyarakat yang cintakan negara. utusan

No comments: